Friday, January 21, 2011

Tazkirah Hari Ini (T.H.I.)

By: Akhi Hilal Asyraf,langitilahi.com.

TERJEMAHKANLAH IMAN

Rasulullah SAW bersabda,
 
“ Iman itu bukan dengan cita-cita, bukan juga dengan kata-kata, tetapi iman itu adalah apa yang tersemat pada kalbu, dan dibuktikan dengan amal”
 
Hari ini, ramai manusia yang menyatakan diri mereka beriman, atau paling kurang, mempunyai nama-nama yang kelihatan beriman.
Bila ditanya,
“ Apakah enta beriman?”
 
“ Eh, saya beriman, nama saya..”
 
Nama saya Muhammad. Nama saya Hariz. Nama saya Fadhli. Nama saya Umar. Dan nama-nama bapa mereka juga adalah nama-nama yang kelihatan beriman. Nama ayah saya Faruq. Nama ayah saya Ali. Nama ayah saya Abdurrahman.
 
Tetapi apabila kita membuka mata kita, manusia-manusia yang mempunyai nama-nama orang beriman ini, sikap mereka menyerupai mereka yang memakai nama-nama bukan nama-nama orang beriman.
 
Yang Muhammad sikapnya seperti John, yang Hariz sikapnya seperti Bush, yang Umar sikapnya seperti Clinton, walaupun kad pengenalannya menulis agama yang dianuti adalah ISLAM.
 
Ramai manusia, mengaku beriman. Jika ditanya, apakah buktinya? Mereka akan tunjuk yang rumah mereka penuh dengan kitab-kitab agama, ayat al-quran bergantung hias dinding, rantai tasbih dan sejadah pelbagai warna.
Tetapi.. terjemahan iman dalam kehidupan tiada.
 
Inilah dia zaman yang menunjukkan kebenaran sabda Rasulullah SAW,
“ Akan datang satu zaman kepada manusia, tidak tinggal dari ISLAM itu melainkan namanya, dan tidak tinggal dari Al-Quran melainkan tulisannya”
 
Lihat… Iman kita bukan terhenti setakat nama. Iman kita bukan sekadar tersembunyi di dalam hati. Tetapi iman kita adalah apa yang kita terjemahkan melalui amalan kehidupan kita.
 
“ Walaupun saya tidak pakai tudung, tetapi hati saya penuh dengan keimanan…”
 
Jangan sesekali anda berani berkata sedemikian, atau yang lebih kurang sedemikian. Anda telah merendah-rendahkan iman.
Apakah yang kita faham berkenaan iman? Manusia sering menterjemahkan iman sebagai percaya. Tetapi sebenarnya, iman ini adalah lebih dari sekadar percaya. Segala unsur percaya, yakin, tiada ragu, semuanya bercampur dan sebati dalam kalimah ini. Iman, apabila ia memeluk hati manusia, maka ia mampu merubah manusia menjadi manusia yang lain. Manusia-manusia yang benar dalam keimanannya, akan mampu melakukan, apa yang manusia lain tidak mampu lakukan.
 
Percaya? Anda menggeleng nampaknya.
 
Baiklah, mari kita sorot kembali sirah Saidina Umar Al-Khattab. Dia ini asalnya merupakan penentang kuat terhadap dakwah Rasulullah SAW. Malah dia pernah bersumpah untuk memancung Rasulullah SAW. Tetapi, selepas dia beriman, dialah yang paling berani menyampaikan ISLAM, dan dialah antara karakter yang disegani kawan atau lawan. Dialah yang berkata kepada Rasulullah…
 
“ ya Rasulullah, apakah kita ini berada di atas haq?”
 
“ Ya wahai Umar”
 
“ Maka apakah yang perlu kita takutkan lagi? Mari kita solat di masjidil haram secara terbuka!”
 
Keislamannya menguatkan dakwah Rasulullah SAW.
 
Nah.. itulah dia iman yang sebenar. Bukan iman yang sekadar menari di mulut sahaja.
Iman boleh membuatkan kita, melakukan apa yang manusia lain tidak mampu lakukan? Bagaimana?
 
Adakah anda kenal dengan Bara’ bin Malik?
 
Di dalam satu peperangan dengan tentera Rom, dia meminta tentera muslimin melontarkannya ke dalam kubu musuh untuk dia membuka pintu kubu itu dari dalam.
 
Kenapa Bara’ ini berani melakukan sedemikian? Jawapannya mudah. Iman kepada ALLAH, dan segala janji-janjiNya. Dia teramat yakin yang ALLAH tidak akan memungkiri janjiNya. ALLAH SWT berfirman,
   
“ Sesungguhnya ALLAH membeli daripada orang-orang yang beriman diri mereka dan harta mereka untuk membeirkan mereka syurga”
 
Dengan iman yang sebenar, manusia sanggup menggadai nyawa, apatah lagi mengikuti segala arahan ALLAH SWT dengan redha dan rela? Maka iman itu bukanlah sekadar apa yang kita sebut-sebut dengan mulut dan bicara. Iman adalah apa yang kita buktikan dengan amal dan perbuatan kita.
 
Apa khabar iman kalian?
Marilah kita bersama-sama, berusaha menterjemahkan iman dalam kehidupan.

 -KK-

No comments:

Post a Comment

orang gembira!